JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL
KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB
ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA
UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG
DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.
Apabila
kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi
maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika
usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan
daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu
membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon
pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil air
mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya.
Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan
sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat
kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di
dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun
mengurangi kekayaan-Nya.
Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya.
Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan
kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit
pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.
Dan
Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendaki-Nya. ( Ayat 27 : Surah
Ibrahim ) Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. ( Ayat 116 :
Surah al-Baqarah )
Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. ( Ayat 23 : Surah al-Anbiyaa’ )
Sebahagian besar daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan
Allah s.w.t dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan
sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai
mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata,
“Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya.
Aku sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!” Siapakah yang
berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t?
Sekiranya
kita tahu bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai
hamba dan jagalah sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian
hamba-hamba. Hak hamba ialah rela dengan apa juga keputusan dan
pemberian Tuannya.
Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita
telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk
tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali
menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak
segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri
sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita
hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh
mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah
s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita?
Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui
(segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya. ( Ayat 14 : Surah al-Mulk )
Dialah yang
mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 18 : Surah at-Taghaabun )
Apa
sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami
tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik
daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui
bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah
al-Baqarah )
Allah s.w.t Maha Halus (Maha Terperinci/Detail),
Maha Mengerti dan Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Allah s.w.t
yang bersifat demikian menentukan buat diri-Nya yang apa sahaja yang
Dia mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik atau yang sama baik.